WARNA-WARNI KEHIDUPAN MASYARAKAT MALAYSIA

Home » Nota Editor » WARNA-WARNI KEHIDUPAN MASYARAKAT MALAYSIA

Suasana di luar auditorium mini itu ramai. Maka tidak hairanlah jika keadaan di dalamnya pun begitu juga. Mereka yang berada di situ pun kelihatan ramai, menunggu ketibaan tetamu kehormat dan permulaan majlis, sambil berbual-bual dengan kenalan lama atau kawan yang baru dikenali. Memang hawa di situ dipenuhi oleh “pelbagai warna”, baik orangnya, bahasanya, hiasan dalamannya mahupun beg cenderamatanya. Mereka “pelbagai warna” – pelbagai kaum dan etnik – tetapi satu bangsa – bangsa Malaysia.

Program #SaySomethingNice sudah berlangsung sejak tahun 2009. Walaupun bermula pada tahun tersebut, pelancarannya hanya dilakukan dua tahun kemudian. Kemudian program tersebut berkembang dari tahun ke tahun dan melibatkan banyak pihak, baik sektor awam, seperti Universiti Malaysia Sarawak dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, mahupun sektor swasta, seperti Mydin dan Tropicana City Mall, yang menyokong usaha menyatupadukan masyarakat “pelbagai warna” di negara ini, yang diikhtiarkan oleh Zubedy (M) Sdn. Bhd.

Sejak bermula lima tahun yang lalu, program #SaySomethingNice hanya berlangsung selama 17 hari pada setiap tahun – dari 31 Ogos hingga 16 September, dari Hari Merdeka hingga Hari Malaysia. Pada tahun ini, pihak yang terlibat dalam program ini diberi sekurang-kurang sekeping poster. Poster tersebut akan dilekatkan pada dinding di tempat yang mudah dilihat oleh sesiapa sahaja. Pada poster itu, terdapat ruang untuk diisi dengan kata atau ungkapan yang menarik oleh sesiapa sahaja tentang apa-apa sahaja, yang tidak menyakiti pembacanya.

Pada hakikatnya, masyarakat negara ini harus mengetahui dan menghargai kekuatan yang dimilikinya. Kekuatannya tentu sekali, tidak lain dan tidak bukan, kepelbagaiannya. Nasi lemak, kuetiau goreng, roti canai, ayam pansuh, dan ambuyat dilahirkan dan dikenali kerana masyarakat negara ini bukan masyarakat “satu warna”. Begitu juga dengan kuda kepang, tarian naga, branya, sompotan dan kreb. Itulah kekuatan negara ini yang perlu terus dijaga, dihargai dan dipelihara.

Kini kedengaran suara sumbang yang mahu negeri tertentu meninggalkan Malaysia. Memang agak mendukacitakan apabila hal yang sedemikian, yang tidak sepatutnya berlaku, terjadi apatah setelah Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak bersusah payah bergabung untuk membentuk Malaysia 51 tahun yang lalu. Banyak negara berpecah kerana kegagalan untuk meraikan kepelbagaian, yang sebenarnya mampu melahirkan keharmonian dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan etnik.

Oleh hal yang demikian, program seperti #SaySomethingNice sewajarnya diperbanyak dan diperluas. Alangkah baiknya jika program sedemikian diadakan secara berterusan, bukan hanya untuk tempoh tertentu. Kita mahu masyarakat “pelbagai warna” negara ini bercakap baik tentang apa-apa sahaja kepada sesiapa sahaja pada sepanjang masa, bukan hanya selama 17 hari setahun. Kita mahu rakyat Malaysia pelbagai kaum dan etnik bersatu padu berdiri teguh di bawah satu bendera – Jalur Gemilang – membentuk dan membina sebuah negara bangsa yang kukuh, yang disegani dan dihormati seantero dunia.

Salam Aidiladha 1435.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2014.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda