PEMUZIK JALANAN MENGIMARAHKAN SENI MUZIK NEGARA

Home » Nota Editor » PEMUZIK JALANAN MENGIMARAHKAN SENI MUZIK NEGARA

Dalam filem Mary Poppins, Bert bermain harmonika, menyanyikan lagu Chim Chim Cheree (lagu terbaik Anugerah Akademi 1964), dan menari mengikut irama muzik. Latar tempatnya di sebuah taman di London, sementara latar masanya awal abad ke-20. Di sekelilingnya, ada penonton. Setelah selesai persembahannya, Bert meletakkan topinya di kaki lima itu. Turut diletakkan di dalam topi itu beberapa keping duit syiling. Ada penonton persembahannya yang meletakkan duit syiling di dalam topi itu, sebagai tanda penghargaan; tidak ketinggalan juga yang berlalu pergi begitu sahaja, mungkin tidak menyukainya.

Di medan selera Tanglin, Kuala Lumpur, mereka terus mengadakan persembahan tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, sama ada khalayak memberikan perhatian terhadap nyanyian mereka ataupun tidak. Orang ramai pula terus dengan aktiviti masing-masing – menikmati sarapan sambil berbual-bual dan mendengar – antara dengar dengan tidak – nyanyian kumpulan tersebut. Yang menghargai persembahan kumpulan itu akan meletakkan wang – mungkin wang lebih selepas membayar sarapan – di dalam kotak di hadapan penyanyi utama – biasanya ketua kumpulan.

Di KL Sentral, kelihatan seorang lelaki mendendangkan lagu sambil bermain gitar. Sebuah beg pakaian – tanpa pakaian – diletakkan terbuka di hadapannya. Di dalam beg itu, kelihatan beberapa keping wang kertas dan duit syiling. Yang agak menarik ialah ada juga buku, yang tertera nama lelaki itu pada halaman kulit, di situ. Harganya RM20 senaskhah. Rupa-rupanya lelaki itu juga penulis.

Pada hakikatnya, persembahan yang begitu belum mendapat tempat dalam kalangan masyarakat negara ini. Hal ini dikatakan demikian kerana konsep pemuzik jalanan – ada pihak yang melihat mereka sebagai peminta sedekah – dianggap sebagai masih baharu di negara ini walaupun kewujudannya sudah tiga dekad. Bert turut mengalami masalah yang sama kerana pemuzik jalanan dianggap sebagai baharu di ibu negara Britain itu pada awal abad ke-20 – lebih seratus tahun yang lalu. Barangkali pemuzik jalanan negara ini juga memerlukan masa yang begitu untuk diterima dan dihargai oleh masyarakat.

Belakangan ini, kelihatannya pemuzik jalanan mempunyai masa depan yang dapat dikatakan cerah. Hal ini dikatakan demikian kerana beberapa pihak, termasuk kementerian, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, telah merangka pelan yang tersusun agar pemuzik jalanan diterima oleh masyarakat, malah menjadikan persembahan mereka itu sebagai sumber pendapatan. Fasa awal ini memperlihatkan pewujudan MyBuskers Corner dan keperluan permit oleh pihak berkuasa tempatan.

Pada masa yang sama, pemuzik jalanan dapat dijadikan sebagai “duta” seni muzik tanah air. Orang ramai, termasuk pelancong, dapat menikmati “konsert” dengan bayaran yang minimum – percuma bagi sesetengah orang – berbanding dengan persembahan di tempat yang eksklusif. Sebagai penyanyi, mereka seharusnya mampu menyanyikan apa-apa juga lagu, termasuk lagu rakyat.

Zaman pemuzik jalanan telah tiba. Pemuzik jalanan akan terus wujud selagi mereka diperlukan. Yang diharapkan kini ialah mereka dapat memberikan sumbangan yang positif terhadap seni muzik watan.

Armin Azhari Saleh


Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2014.


Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda