MOHD. SHAIMY HASHIM: SUREALIS 1981-2014

Home » Pilihan Utama » MOHD. SHAIMY HASHIM: SUREALIS 1981-2014

Oleh: Faizal Sidek

Dilahirkan di Panchur, Pekan, Pahang, pada 61 tahun dahulu, nama Mohd. Shaimy Hashim bukanlah asing kepada dunia seni lukis di negeri itu, malah di Pantai Timur amnya. Mohd. Shaimy, yang telah berkarier selama lebih daripada 40 tahun, bukan sahaja artis beraliran surealisme, malah pentadbir persatuan seni yang disegani. Pengerusi Senika (Persatuan Seni Lukis dan Seni Reka Pahang) dan GAP (Gabungan Persatuan Pelukis Malaysia) ini hadir ke pameran solo kedua yang bertajuk “Mohd. Shaimy Hashim: Surealis 1981-2014”. Pameran ini menghimpunkan lebih daripada 30 karya sureal yang terpilih sepanjang kariernya.

Saya mula mengenali Mohd. Shaimy ketika diundang oleh Senika untuk mewakili kurator Balai Seni Visual Negara ke majlis pengkisahan 25 Tahun Senika di Kuantan tiga tahun yang lalu. Bersama-sama budayawan Dato’ Arifin Said dan Setiausaha SENIKA, Hasnah Yusof, saya membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Pengkaryaan Pelukis Pahang dalam Koleksi Balai Seni Visual Negara”. Penulisan dan ulasan mengenai majlis pengkisahan ini diterbitkan dalam Senikini keluaran 19; saya juga sidang editorialnya. Pengkisahan saya dalam penulisan itu seputar mengenai bidang pengkoleksian amalan Balai Seni Visual Negara. Saya turut menyentuh perihal landskap seni lukis di Pantai Timur secara sepintas lalu dengan memberikan penekanan kepada pelukis Pahang dalam pengkoleksian Balai Seni Visual Negara.

Oleh sebab pada ketika itu saya kurator di Bahagian Koleksi, penyelidikan dan penulisan saya banyak menjurus kepada karya koleksi yang disimpan di Balai Seni Visual Negara sendiri, yang diterbitkan bukan sahaja dalam majalah terbitannya, malah dalam Dewan Budaya dan katalog pameran galeri swasta. Pada masa yang sama, saya menyatakan bahawa banyak lagi perkara yang dapat dikongsi dengan masyarakat melalui lebih daripada 4000 karya yang disimpan untuk dijadikan sebagai Khazanah Koleksi Negara, termasuklah pelukis dari Pahang yang merupakan kurang daripada 10 peratus daripada keseluruhan perolehan. Nama pelukis yang berasal Pahang, seperti Redza Piyadasa, yang merupakan guru saya sendiri, dapat dijadikan sebagai inspirasi oleh pelukis muda yang dilahirkan daripada produk institusi seni di sini, seperti Kolej Shahputra dan Institut Iktisas Negeri Pahang (IKIP).

Sungguhpun Piyadasa dapat dikatakan sebagai generasi pertama dari Pahang yang menerima formalisme dari Barat, lahir juga daripada generasi yang terkemudian yang menerima pendidikan tempatan hasil daripada kepulangan mereka yang belajar di luar Pantai Timur. Seorang daripada mereka ialah Mohd. Shaimy Hashim yang pernah melanjutkan pelajarannya di Pusat Seni, Universiti Sains Malaysia. Mohd. Shaimy telah bermula awal daripada itu pada sekitar tahun 1970-an dengan berkarya sendiri di sekitar Kuantan dan seterusnya menubuhkan Senika yang mewakili suara pelukis Pahang dan Pantai Timur umumnya.

Mohd. Shaimy bertugas sebagai guru di sekolah swasta di beberapa buah negeri di Pantai Timur. Pengkaryaan awalnya dapat dikatakan sebagai rakaman atau rekod masa terhadap sesuatu persekitaran dan kadangkala menerima komisen atau aktiviti berkumpulan untuk membuat lukisan potret di tempat awam. Namun begitu, setelah menamatkan kursus jangka pendek di Pusat Seni, terdapat kecenderungan dalam pengkaryaan Mohd. Shaimy pada masa itu yang mula memikirkan idea, metafora, simbolisme, subjek perlambangan yang konsisten, dan kandungan walaupun sebelum ini dia telah mahir dengan aspek kemahiran “membuat” lukisan.

Perkara ini pada dilihat pada awal tahun 1980-an apabila terdapat pengaruh pelukis aliran sureal dalam pengkaryaannya. Saya memberikan tajuk pameran ini sebagai “Mohd. Shaimy Hashim: Sureal 1981 hingga 2014” kerana tinjauan selama tiga dekad pelukis ini yang menghabiskan masa di ruang alam bawah sedar, alam mimpi, separuh sedar dan alam fantasi. Dalam istilah tempatan, mereka suka menyebut orang yang hidup atau masuk ke dalam “alam bunian”. Masuk ke alam bunian bukanlah bermaksud secara langsung berinteraksi dengan orang bunian, tetapi sebagai rakaman bentuk dan dokumentasi masa.

Ahli psikiatri, Sigmund Freud, dan rakannya,Carl Jung, merupakan dua orang doktor psikologi yang memperkenalkan cara rawatan dan penyembuhan oleh pesakit mereka secara klinikal yang dikenali sebagai psikoanalisis. Teori mereka berdua digunakan dan dikembangkan dalam bidang kesenian yang lain, terutama seni lukis. Nama artis surealis Barat, seperti Salvador Dali, Rene Magritte dan Sergei Apirin, bukan asing dalam perbendaharaan kata karya Mohd. Shaimy.

Satu daripada perbezaan ketara yang dapat dilihat secara sedar kelainan karya Mohd. Shaimy dengan artis tempatan yang juga sebelumnya sezaman dengannya, seperti Zulkifli Dahlan, Ali Mabuha atau Ali Rahmat dan Othman Mansor, ialah elemen patriotisme dan politik yang menyegarkan ingatan kita terhadap sesuatu isu untuk dijadikan sebagai peringatan. Dalam menelusuri pengkaryaan Mohd. Shaimy, saya dapat membahagikannya kepada tiga peringkat perjalanan, iaitu sureal pada sekitar tahun 1980-an, sekitar tahun 2000, dan ketiga karya yang dihasilkan dari tahun 2010 hingga kini.

Permulaan awal Mohd. Shaimy dalam aliran ini dapat dilihat menerusi karya siri mimpi dan pintu gerbang, seperti Sarapan Pagi (1982), Mimpi I 1982, dan Mimpi III (Gerbang di Jurang) (1986), serta karya lain, seperti Telur di Hujung Tanduk (1986) dan Khutbah (1989). Satu keunikan yang terdapat dalam karya Mohd. Shaimy yang mungkin tidak terdapat dalam kalangan pelukis lain, terutama artis yang berpangkalan di Lembah Klang, ialah lokasi. Topografi persekitaran ciri maritim di Pantai Timur amat kuat terdapat dalam karya Mohd. Shaimy – pengalaman berstudio penghasilan karyanya di pesisir Laut China Selatan, sama ada di Kelantan, Terengganu ataupun Pahang. Perihal ini dapat dilihat pada kebanyakan karya surealnya yang berlatarbelakangkan laut, pesisir pantai, ombak, teluk dan tanjung, seperti Gerbang di Tebing Juram (1989), Sunami I (2004) dan Sunami 2 (2004). Tidak menghairankan apabila logo Galeri Pantai Timur, tempat pameran ini dilangsungkan, mengambil lukisan ombak, seperti karya cetakan kayu The Great Wave (1829-32) oleh Katsushika Hokusai.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran November 2014.

Hantar Maklum Balas Anda