Karat Bernilai dan Berharga

Home » Nota Editor » Karat Bernilai dan Berharga

Daripada buku yang diterbitkan pada tahun 1877 yang bernilai RM2500 kepada setem Malaysia terpakai terkini yang dijual dengan harga 20 sen – itulah antara barang yang dapat diperoleh di pasar lambak Amcorp Mall, Petaling Jaya. Yang lebih menarik lagi, tempat duduk basikal turut dijual! Kadang-kadang agak sukar untuk dibayangkan pembelinya, apatah lagi tujuan tempat duduk basikal itu dibeli. Tentu sekali tempat duduk itu dibeli bukan sebagai pengganti tempat duduk yang rosak kerana kini tidak banyak orang yang menggunakan basikal, malah basikal hitam yang demikian sudah tiada dalam pasaran.

Itulah warna-warni pasar lambak Amcorp Mall dan barang kali juga pasar yang sedemikian di tempat lain. Pasar lambak Amcorp Mall hanya diadakan pada hari Ahad. Mungkin oleh sebab hanya beroperasi sehari, sambutan peminatnya begitu hebat, bukan sahaja daripada rakyat negara ini, bahkan masyarakat luar negara juga. Peminatnya pasti bukan sembarangan orang oleh sebab minat sahaja tidak cukup, malah poket mesti “berisi” kerana harga barang yang di luar jangkauan “orang biasa”. Begitu juga dengan peniaganya, yang bukan hanya rakyat Malaysia, bahkan kelihatan juga orang Arab.

Yang dapat diperhatikan dan disimpulkan ialah bahawa pasar lambak itu terbahagi kepada tiga kategori. Pasar karat menjual barang antik atau lama atau nadir yang dibeli oleh kalangan tertentu untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi. Pasar terpakai pula menjual barang terpakai pada harga yang lebih murah, tetapi dicari oleh orang tertentu kerana masih dapat digunakan. Di pasar murah, barang dapat diperoleh pada harga yang lebih murah daripada harga pasaran semasa.

Bagi sesetengah barang, semakin lama usianya semakin tinggi nilainya. Buku yang bernilai RM2500 itu, jika disimpan untuk beberapa tahun lagi, pasti meningkat nilainya dan tentu juga harganya. The Malay Achipelago: The Land of Orang Utan dan the Bird of Paradise hanya diketahui dan dicari oleh kalangan tertentu. Setem Malaysia terpakai terkini, yang sekarang dijual dengan harga 20 sen sahaja sekeping, pasti akan berubah nilai dan harganya pada tahun 2034, sebagai contoh. Begitu juga dengan buku dan majalah DBP.

Kini beberapa buah Bandar mempunyai pasar karatnya. Melaka, Ipoh, Muar, dan Rengit sudah mempunyai pasar karat selain Petaling Jaya. Dari satu segi, pasar karat dapat dijadikan sebagai tarikan pelancongan, baik dalam mahupun luar negara. Dari segi yang lain, pasar karat mampu menjanakan ekonomi setempat kerana bersama-samanya, biasanya ada pasar terpakai dan pasar murah. Perancangan rapi dan bersepadu, yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan, pusat pelancongan setempat dan peniaga, mampu merealisasikan hal ini.

*****

Daripada-Nya kita datang, kepada-Nya kita pulang. Sidang editor dan warga kerja Dewan Budaya merakamkan ucapan terima kasih kepada tiga orang insan yang telah memberikan sumbangan kepada agama, bangsa, dan negara dalam bidang masing-masing dengan cara mereka sendiri semasa hayat dikandung badan. Mereka ialah penggiat budaya Prof. Emeritus Tan Sri Ismail Hussein, pengarah filem Datuk Jamil Sulong, dan penulis dan penggiat teater Ali Jusoh. Pemergian mereka akan tetap dirasai, tetapi perjuangan mereka akan tetap diteruskan oleh mereka yang tinggal. Marilah kita berdoa agar roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2014.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda