Pasar Nostalgia

Home » Fokus » Pasar Nostalgia

Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

RM80 ribu! Itu nilai harga yang diletakkan untuk sekeping duit syiling negara ini keluaran tahun 1969 yang dijual kepada seorang pengumpul barangan lama di Singapura. Bagi orang biasa, harga itu mungkin tidak masuk akal. Sudahlah mahal, dijual pula di tempat yang tidak langsung difikirkan oleh akal akan harganya. Mungkin bagi orang biasa, memang hal ini dikatakan tidak berbaloi! Namun demikian, bagi penggemarnya, itulah nilai yang sewajarnya diletakkan berdasarkan nilai dan kenadiran barang tersebut.

Pasar karat, kedai antik, kedai barangan terpakai, atau apa-apa pun nama yang diberikan, hal ini merujuk penjualan barangan yang dapat dikategorikan kepada dua, iaitu barangan antik dan barangan terpakai yang dijual pada harga yang cukup berbaloi. Yang menariknya, pasar ini menjanjikan 1000 kelainan kepada pengunjungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana disinilah barangan yang sukar dicari dan jarang-jarang ditemui pasti dijumpai.

Di Malaysia, pasar karat sudah bertapak sejak sekian lamanya, kira-kira pada permulaan era 80-an. Walaupun begitu, perjalanan pasar ini kurang mendapat sambutan daripada masyarakat tempatan kerana sikap tipikal yang mengatakan bahawa pasar karat ialah lokasi yang menjual barang yang kurang standard dan terpakai, malah lebih buruk, dikatakan sebagai lokasi yang menjual barang curi.

Namun begitu, senario itu kian berubah. Akhir-akhir ini, pasar karat sudah mendapat tempat di hati pengunjung kerana kelainan yang dibawanya. Yang paling mengujakan, jika dikunjungi tempat penjualan barang antik dan barang terpakai ini, majoriti pengunjungnya golongan muda.

Penulis teringat ketika belajar di Ipoh sekitar tahun 2002 hingga 2005. Setiap hujung minggu, di tepi sungai berhampiran dengan Masjid Negeri, seawal pukul 7.00 pagi, sudah kelihatan deretan kereta di tepi jalan raya. Suasananya memang riuh dengan gelagat penjual pasar karat mencari pembeli. Bermacam-macam peralatan yang tidak pernah dilihat ada terjual di situ. Oleh itu, banyak orang yang mengatakan bahawa pasar ini unik dan ada keistimewaannya berbanding dengan pasar lain.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan ke Melaka, Muar, dan Rengit yang dikatakan sebagai sebahagian daripada sarang utama pasar karat di negara ini. Di Melaka, penulis bertemu dengan seorang pakar yang mampu menilai barang antik sehingga dirinya memiliki sebuah kedai di Jalan Laksamana.

Azilan, 54 tahun, merupakan peniaga, pengumpul, dan pakar barang antik. Azilan, yang lebih mesra disapa dengan panggilan Allen oleh rakan dan pengumpul barang antik, sudah mempunyai pengalaman berniaga lebih daripada 20 tahun. Namun demikian, minatnya terhadap barang antik, terutama duit, mula menapak dalam diri sejak tahun 2008.

“Abang mula berniaga sejak tahun 1989. Ketika itu, berniaga kecil-kecilan sahaja. Lebih kepada barangan kraf tangan,” jelas Allen yang dilahirkan dan dibesarkan di Singapura. Jelasnya, minatnya terhadap barang antik ini bermula dengan mengumpul duit.

Pelbagai jenis duit daripada kesultanan Melayu Melaka hinggalah kini menjadi koleksi peribadinya. “Menjadi orang yang pakar dalam menilai duit bukanlah senang. Abang berjumpa dengan bermacam-macam orang dan mempelajari hal itu daripada mereka,” jelas Allen yang ditemui di kedainya, Laksamana Souvenir & Antique. Baginya, memiliki barang lama ini merupakan kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Barang antik ini sesuatu yang lain daripada yang lain serta tidak makan dek zaman kerana lagi lama zaman itu berlalu, lagi bernilai tinggi sesuatu barang tersebut.

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2014.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

Hantar Maklum Balas Anda