Pesta Chandan dan Festival Gamelan Sedunia

Home » Nota Editor » Pesta Chandan dan Festival Gamelan Sedunia

Pada era pra-1984, Pesta Chandan menjadi pesta yang amat ditunggu-tunggu oleh warga Kuala Kangsar, khususnya, dan rakyat Perak, amnya. Pesta ini diadakan pada setiap bulan September di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, di kawasan lapang yang berhampiran dengan Istana Iskandariah. Pesta Chandan dianjurkan sebagai satu daripada pengisian sambutan hari keputeraan Paduka Seri Sultan Idris Al-Mutawakil Alallahi.

Konsep Pesta Chandan amat mudah, seperti pesta ria, hanya untuk berhibur dan melepaskan penat lelah setelah penat bekerja, tetapi tidak kurang juga orang yang menggunakannya sebagai saluran menjanakan pendapatan tambahan. Pada waktu itu, tidak banyak pusat hiburan, apatah lagi di bandar diraja Perak itu. Siaran televisyen pula hanya ada dua saluran. Pasar raya menyediakan mesin alur untuk hiburan pengunjungnya. Sesetengah sekolah menjadikan tempat yang mempunyai mesin yang demikian sebagai kawasan larangan.

Oleh itu, Pesta Chandan menjadi tarikan pengunjung. Pesta itu dibuka pada sebelah malam sahaja. Selama sebulan, pesta itu berlanjutan walaupun pada malam hari raya Aidiladha. Dalam keadaan hujan gerimis, orang ramai tetap mengunjungi pesta tersebut. Yang tidak mempunyai kenderaan sanggup berjalan beberapa kilometer dari bandar Kuala Kangsar ke lokasi pesta. Yang berwang pun sanggup berjalan juga kerana takut wang tidak cukup untuk perbelanjaan pesta.

Pada hari ini, ada bermacam-macam pesta. Sering kali kita membaca iklan promosi tentang pesta komputer – pesta ini menjual komputer – dan pesta buku, seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, atau pesta tilam. Semua pesta ini melibatkan urus niaga dan pengaliran wang. Ada juga pesta filem, seperti pesta filem Malaysia yang memberikan anugerah kepada mereka yang difikirkan layak untuk menerimanya.

Tahun ini diisytiharkan oleh kerajaan, melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, sebagai Tahun Festival Malaysia (MyFest) – Sambutan Tiada Sempadan. MyFest dilihat sebagai kesinambungan kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 yang mampu merangsang industri pelancongan negara, untuk menjanakan pendapatan yang akan digunakan untuk pembangunan negara.

Beberapa festival atau pesta telah diatur. Antaranya termasuklah Citrawarna, Festival Cahaya Kuala Lumpur, Pesta Perarakan Cingge, Festival Gendang Tradisional Antarabangsa, Pesta Wau Antarabangsa Kelantan, Festival Durian Pulau Pinang dan Festival Gamelan Sedunia. Semua pesta tersebut bertaraf kebangsaan atau antarabangsa.

Barangkali ada baiknya jika Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengangkat pesta yang bertaraf tempatan, seperti Pesta Chandan, ke peringkat yang lebih tinggi, seperti Festival Gamelan Sedunia. Walaupun Pesta Chandan sudah lama berkubur, banyak lagi pesta yang bertaraf tempatan yang baru muncul, seperti Festival Persuratan George Town dan Festival Penulis dan Pembaca Johor Bahru. Dengan hal yang demikian, bukan sahaja nama pesta yang meniti bibir pelancong, lokasinya juga akan disebut-sebut. Barulah Malaysia dapat menjadi destinasi pelancongan dalam erti kata yang sebenar.

Selamat menyambut tahun baharu Masihi 2015.

Armin Azhari Saleh

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2015.

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda