Keunikan Tarian Dabus

Home » Pilihan Utama » Keunikan Tarian Dabus


Oleh Ezwafahmey Ahmad Kusaini

Tarian dabus amat popular di Perak. Tarian ini mengandungi unsur lupa, yang dipercayai berasal daripada permainan masa silam orang Islam di Timur Tengah. Tarian ini dikatakan bermula dengan kegiatan masa lapang Nabi Muhammad dan para sahabat, ketika sedang berehat semasa pertempuran dengan musuh Islam. Tarian ini juga mungkin dijadikan sebagai latihan untuk pahlawan perang memperkukuh semangat serta benteng pertahanan mereka bagi menentang musuh.

Pada kurun ke-18, pedagang Islam membawa tarian dabus ke Tanah Melayu. Tarian ini buat kali pertamanya dipersembahkan di hadapan penduduk di Pasir Panjang, Setiawan. Tarian ini dipercayai dibawa oleh nakhoda kapal dari Batu Bara, Aceh. Hal ini dapat dibuktikan oleh perkataan dabus yang berasal daripada perkataan Bugis yang bermaksud lembing tajam. Tarian dabus menggunakan alat yang tajam semasa persembahan. Dabus, atau alat yang diperbuat daripada besi berukuran 10 inci panjang serta berloceng, dibawa oleh dua orang penari ketika persembahan. Sewaktu menari, besi ini dipukul pada badan penari, seolah-olah penari mendapat semangat kepahlawanan yang gagah

perkasa.

Tarian dabus menggabungkan tarian, nyanyian, dan kebolehan serta keberanian. Tarian ini memerlukan alat muzik, seperti gong, rebana besar, rebana kecil dan anak dabus. Selain itu, alat utama lain yang diperlukan ialah anak batu, iaitu sejenis senjata tajam yang berkepala. Dabus atau anak dabus merupakan identiti penting tarian ini. Anak dabus diperbuat daripada besi yang ditajamkan di hujungnya. Di pangkal besi tersebut, terdapat lingkaran yang berbentuk kerawang dan tersemat beberapa gelung besi kecil yang dinamai cincin besi. Cincin besi digunakan untuk membentuk bunyi gemerencing apabila besi digerakkan semasa persembahan.

Tarian dabus biasanya dipersembahkan dalam majlis perkahwinan, pesta pertabalan kerabat diraja, upacara keagamaan, dan hari kenegaraan, seperti hari kemerdekaan. Alat muzik yang digunakan semasa mengiringi tarian ini termasuklah dua gendang, dua tabla, enam kompang dan satu gong. Gong dimainkan oleh seorang sahaja. Gong diperbuat daripada tembaga dan saiznya yang biasa digunakan dalam permainan tradisional yang lain. Gong berfungsi mengiringi muzik rebana, sekali gus memainkan peranan utama pada waktu pembukaan dan penutupan persembahan.

Rebana kecil diperbuat daripada kulit kambing yang dikeringkan. Biasanya ukuran garis pusatnya antara tujuh hingga lapan inci. Rebana dipalu dengan tapak tangan, seperti memukul hadrah atau kompang, serta dimainkan oleh tujuh orang pemain. Rebana berfungsi sebagai pengiring lagu yang dinyanyikan oleh pemain muzik. Rebana besar pula selalunya dimainkan oleh dua orang. Rebana besar juga diperbuat daripada kulit kambing yang dikeringkan. Saiz garis pusatnya antara 14 hingga 15 inci.

Pemain membuat paluan di bahagian tepi dan tengah rebana dengan lebih perlahan dan bunyinya bergema berbanding dengan rebana kecil. Rebana besar memainkan peranan penting kerana segala rentak tarian mengikut rentaknya. Pada masa yang sama, pemain muzik bernyanyi dan mereka mesti menghafal seni kata lagu berzanji. Selalunya lagu berunsurkan agama dinyanyikan kerana berkaitan dengan asal usul dabus. Lagunya ada persamaan dengan lagu berzanji, kompang dan hadrah.

Oleh itu, kombinasi muzik dan tarian dabus penting untuk menghasilkan persembahan yang mantap. Kekurangan salah satu peralatannya menyebabkan persembahannya sumbang. Ahli kumpulan persembahan tarian dabus terdiri antara 15 hingga 18 orang dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan terdiri daripada lapan orang yang bertindak sebagai penari. Kumpulan kedua pula terdiri daripada lapan hingga 10 orang yang bertugas sebagai pemain muzik.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2015.

Hantar Maklum Balas Anda