KEMBANG TEATER KANAK-KANAK DI KPAKK

Home » Pilihan Utama » KEMBANG TEATER KANAK-KANAK DI KPAKK

Oleh: Ladin Nuawi

Pentasnya sederhana. Tiada lampu khas untuk pementasan. Tempat duduk penonton terbuka di dalam dewan. Namun begitu, lakonan meyakinkan. Sambutan penonton penuh gemuruh. Mereka mampu “pergi jauh”. Inilah kesan pemerhatian awal ketika menonton teater muzikal kanak-kanak Puteri Beradu oleh mahasiswa ahli Kelabi-culture, Kolej Perkembangan Awal Kanak-kanak (KPAKK), di Damansara Damai, Petaling Jaya, pada 20 Januari 2015 yang lalu.

Pasukan kerja dan pelakon terdiri daripada calon guru yang mempunyai kemahiran khas yang berkaitan dengan kanak-kanak. Tentu sekali mereka mampu mengisi keperluan teater di sekolah tempat mereka bertugas nanti. Namun demikian, ada yang lebih daripada itu yang saya perhatikan. Papan putih dijadikan sebagai tirai latar pentas. Tirai latar pentas dihiasi seperti dinding bilik darjah – ada gambar bunga dan haiwan. Birai pentas dihiasi bunga plastik. Dua tangga kecil di kiri kanan untuk pelakon naik turun pentas. Projektor digunakan untuk memancarkan set istana dan taman. Terkejut juga apabila video digunakan untuk memperkenalkan pelakon.

Tanda gagasan “Teater Wajah Malaysia” ada di KPAKK. Juruacara mengalu-alukan penonton dan persembahan dengan pantun. Begitu juga apabila menutup acara. Sebelum pementasan bermula, ada bacaan doa. Semua mengaminkannya. Terharu juga apabila pelakon sendiri yang membaca doa. Dalam persembahan, ada tarian warisan kita. Mereka menyedari bahawa warisan bangsa perlu diteruskan.

Sebagai teater tanpa peruntukan, maka mereka tong-tong untuk membeli keperluan pentas yang patut, seperti polistirena, bunga plastik dan pewarna, selain bahan yang ada di kolej. Tidak hairanlah jika mereka menggunakan alat mekap sendiri, bukan alat mekap untuk pentas. Pakaian istimewa sendiri digunakan sebagai busana pementasan untuk disesuaikan dengan cerita dunia istana. Lakonan mereka terpuji. Mereka berkeyakinan. Setiap kali mereka menampilkan diri dan melontarkan dialog, sambutan gemuruh daripada penonton. Mereka tidak terpengaruh untuk menokok tambah yang bukan-bukan, apatah lagi untuk “makan lakonan kawan” apabila mendapat sambutan. Tiada kasta dalam lakonan. Inilah yang diperlukan daripada guru apabila berhadapan dengan anak murid. Saya berpandangan bahawa kedua-dua orang pengarah, Nurul Mazzuin Abd. Wahab dan Sahliza Samsul, menyedari hal ini.

Tabik perlu saya berikan kepada pemegang watak Pengawal (Syakinah Sahirul) yang memang menguasai lakonan dan cerita. Setiap kali tampil dan berdialog, dia mampu mencuit reaksi spontan penonton. Perlu saya catat di sini rasa terharu dengannya. Saya meminta semua pelakon utama naik ke pentas untuk sesi fotografi. Dia tetap duduk di bawah. Apabila saya beritahu bahawa lakonannya bernilai pelakon utama, barulah dia sedar dan bersedia bergambar bersama-sama pelakon utama walaupun malu-malu.

Tabik juga wajar diberikan kepada semua barisan pelakon kerana tidak menunjuk-nunjuk kelebihan diri dan watak yang dibawa: Zakaria Ismail (Raja), Sahliza Samsul (Permaisuri), Norizam Abdullah (Puteri Aurora), Abdul Hadrizulkayri Abdul Hasan (Putera Boboiboi), Rahimah Ratag (Pari Hitam), Cathrine Sebarang (Pari Merah), Nazihah Mashuri (Pari Biru), Siti Norhafiain Joli (Pari Hijau/Pokok), Maizahtul Akmal Zaiton (Dayang Kuncup), Norlela Zakaria (Dayang Kembang), Nur Atiqah Abu Seman (Dayang) dan Adila Puteri Md Noh (Pokok).

Saya tidak nampak suasana kelam-kabut menjelang pementasan. Biasanya wibawa penasihat, pengarah, pengurus persembahan (Nur Ain Md. Yusop), dan pengarah pentas (Faika Karim) dapat dijadikan sebagai penilaian kelancaran dan kemurnian persembahan.

Begitulah juga dengan pasukan kerja yang lain, seperti Nantai Delan, Siti Nor Intan Rasyizawati Abd. Rasyid, Nor Syahira Kamaruddin, Nur Izzati Ngali, FathilIzaty Hamdan, Siti Safirah Ismail, Wan Nurul Hawa Wan Azehar, Siti Nor Azreen Ahmad Zaini dan Intan Norasheela Idris. Tanpa sokongan bulat semua yang terlibat, maka pementasan akan menjadi bencana. Patutlah penonton hampir memenuhi dewan.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2015.


Posted in: Pilihan Utama, Teater

Hantar Maklum Balas Anda