TAJAU

Home » Pilihan Utama » TAJAU

Oleh Fujica Anggo

Masyarakat peribumi di Sarawak sememangnya kaya dengan keunikan budaya dan warisan turun-temurun. Terdapat 27 kumpulan etnik di negeri itu. Setiap etnik mempunyai bahasa, budaya, warisan, dan cara hidup yang berbeza.Kebanyakan masyarakat Iban tinggal di kawasan Sungai Saribas, Sungai Skrang, Sungai Batang Lupar dan Sungai Rajang. Oleh sebab itu, mereka lebih dikenali sebagai orang laut.

Antara budaya dan warisan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Iban termasuklah penggunaan tajau. Dalam menjalani kehidupan harian, masyarakat Iban menggunakan tajau sejak kurun kesembilan. Tajau, atau lebih dikenali sebagai tempayan, begitu sinonim dalam kalangan masyarakat ini. Selain itu, tajau mempunyai sebutan lain, iaitu benda.

Asal usul kewujudan tajau dapat dikesan daripada kegiatan perdagangan pada zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman tersebut, Sarawak menjalin hubungan perdagangan dengan kerajaan Melaka. Hasil hutan dan hasil laut Sarawak, seperti lada hitam, emas, sarang burung, halia, kapur barus dan permata, didagangkan di pelabuhan Melaka.

Kemajuan kegiatan perdagangan di Sarawak menarik minat pedagang asing dari Arab, China dan kepulauan Melayu. Mereka berkunjung ke perairan Santubong. Pedagang ini membawa barang, seperti tembikar, barangan logam, sutera, kain dan perhiasan, ke Sarawak.

Pedagang China membawa tembikar untuk ditukarkan dengan barangan pedagang Sarawak dengan menggunakan sistem barter. Inilah titik permulaan bagi masyarakat Iban menjadikan tajau sebagai barang pelbagai fungsi sehingga mempengaruhi kehidupan harian mereka.

Selain itu, mereka mempunyai budaya tradisi menyimpan pasu. Tradisi itu menjadikan pasu berfungsi sebagai harta simpanan. Oleh sebab itu, tajau dianggap sebagai harta pusaka, sesuatu yang bernilai, sesuatu yang perlu dihormati, dan lambang kemegahan warisan keturunan mereka.

Terdapat perbezaan antara tembikar dengan tempayan. Tembikar ialah barang yang diperbuat daripada tanah liat yang dibakar dan digilap sehingga berkilat, seperti cawan, mangkuk dan pinggan. Tempayan pula sejenis bejana yang diperbuat daripada tanah liat untuk menyimpan air dan hanya berwarna perang atau coklat.

Tajau mempunyai pelbagai saiz dan ketinggian. Terdapat 12 jenis tajau yang mempunyai nilai estetika yang tinggi dalam masyarakat Iban, iaitu tajau guchi (paling kecil dan untuk guna-guna), tajau alas, tajau sergiu, tajau ningka petanda, tajau menaga, tajau jabir, tajau menukul, tajau panding, tajau rusa, tajau singaraja, tajau salang-salang dan tajau kelawah indu benda (tajau legenda).

Tajau merupakan satu daripada simbol kekayaan masyarakat Iban. Semakin banyak tajau yang dimiliki, maka semakin kaya si pemiliknya. Hal ini dikatakan demikian kerana tajau berfungsi sebagai tempat penyimpanan beras selepas tamatnya musim menuai.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran April 2015.

Hantar Maklum Balas Anda