ISTANA BUDAYA KENA MAIN

Home » Pilihan Utama » ISTANA BUDAYA KENA MAIN

Oleh Ladin Nuawi

Jalan cerita teater Kena Main mudah sahaja. Empat orang insan cacat pelihatan mencari rezeki melalui muzik di kaki lima ibu kota. Mereka hendak diambil kesempatan oleh Mat Pit (Rodhi Md. Noor) yang mengetahui bahawa Mona (Aida Othman) lari dari rumah dan bapanya telah membuat laporan polis.

Helah Mat Pit dapat dipatahkan oleh mereka. Mereka dipelawa oleh aktivis masyarakat, Laila (Azizah Mahzan), dan peguam, Jamil (Azman Hassan), untuk mengadakan persembahan amal Persatuan Kebajikan Orang-orang Kurang Upaya. Laila dan Jamil juga membantu menyelesaikan masalah Mona.

Adakah semudah itu untuk bercerita perihal dunia orang cacat pelihatan serta muzik/lagu kegemaran mereka? Adakah mudah untuk membawa warna mereka di ibu kota dalam naskhah dan pentas? Untuk saya, tidak. Kita kena kenal akan sifat, sikap, dan pemikiran mereka, sekali gus cabaran harian yang dihadapi oleh mereka. Khalid Salleh, yang lebih mesra dipanggil Wak Khalid, amat arif dengan dunia mereka kerana dia sendiri membesar di kaki lima ibu kota. Namun begitu, untuk naskhah Kena Main, Wak Khalid memilih bahasa yang murni sahaja.

Betapa orang buta menggunakan telinga dan hidung untuk mengesani orang di sekeliling mereka sehingga mereka dapat menangkap Mat Pit. Di samping itu juga, mereka dapat menerima keikhlasan Laila dan Jamil. Yang jelas, mereka hanya buta mata, bukan buta di dalam perut.

Keempat-empat watak buta diberi warna yang berbeza walaupun semua mampu bernyanyi dan bermain alat muzik. Jusuh (Ebby Saiful Ali) disegani oleh semua rakannya. Daud (Sani Sudin) bercita-cita besar, hendak menjadikan Mona sebagai artis, dan ada maksud tersirat bahawa kemampuan orang kurang upaya wajar diketengahkan. Sepadanya Daud ada jatuh hati kepada Mona. Mona pula mewarnakan hatinya kepada Pie (Eman Manan). Mona yang bendul sanggup lari dari rumah untuk mendapatkan kasih sayang dan perlindungan. Pie pula kaki sakat, tetapi daya fikirnya tinggi.

Selayaknya mereka hidup di jalanan, maka pertuturan mereka hanya bahasa jalanan. Perkataan Inggeris yang digunakan yang biasa-biasa sahaja dengan bibir kita. Namun begitu, tiada satu ayat pun yang kesat dan kasar. Bahasa mudah juga digunakan untuk menerangkan nilai keagamaan.

Wak Khalid membawa kita berfikir tentang rezeki dan ibadah melalui percakapan antara Daud dengan Pie. “Mana datangnya ibadah pula? Ini main muzik, tak boleh disamakan dengan ibadah.” Kata-kata Daud itu dijawab oleh Pie, “Kau ada kerja lain selain dari main muzik untuk menyara hidup kau?” Daud mengakui bahawa itulah punca rezekinya dan tidak salah dalam konteks mencari keredaan Allah. Pie menyimpulkannya dengan pertanyaan, “Jadi, mencari rezeki itu termasuk dalam konteks ibadah atau haram jadah?”

Pemuzik cacat pelihatan mudah ditemui di kaki lima ibu kota. Namun begitu, bagaimana hendak menjiwai watak mereka? Bukannya mudah untuk menyelami jiwa mereka. Selain Wak Khalid, Rodhi Md. Noor/Rodi, Sani Sudin, Ebby Saiful Ali, dan Eman Manan memang sudah sedia rapat dengan dunia kaki lima ibu kota. Aida Othman yang membesar dengan kumpulan teater Bakawalee, Pulau Pinang, dipilih khas oleh Wak Khalid kerana kesungguhannya dalam berteater.

Kes Rudi menarik untuk dirakamkan di sini. Rodi, yang hampir 10 tahun meninggalkan dunia seni drama televisyen, filem dan teater, berjaya dijejaki persembunyiannya oleh Wak Khalid. Dia diambil kembali untuk memainkan watak Mat Pit/penagih yang pernah dipegangnya sejak pementasan pertama pada tahun 1992 sehingga pementasan keempat ini.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Mei 2015.

Posted in: Pilihan Utama, Teater

Hantar Maklum Balas Anda