KEBUDAYAAN KEBANGSAAN TUNJANG NEGARA BANGSA

Home » Fokus » KEBUDAYAAN KEBANGSAAN TUNJANG NEGARA BANGSA

Oleh: Jeniri Amir

Sudah 44 tahun berlalu sejak Malaysia mengadakan Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada tahun 1971. Persoalannya, adakah Dasar Kebudayaan Kebangsaan sudah berjaya dilaksanakan atau masih relevan dalam konteks globalisasi dan perubahan landskap sosiobudaya dan politik pada hari ini dan masa depan?

Seperti Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baharu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-75), digubal sebagai ekoran tercetusnya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Semua dasar yang berkaitan dengan ekonomi, pendidikan, bahasa, dan budaya selepas itu menjadikan perpaduan dan kesepaduan sosial sebagai tunjang supaya akhirnya akan lahir bangsa Malaysia yang memiliki jati diri. Ternyata bahawa Dasar Kebudayaan Kebangsaan merupakan strategi dan pendekatan jangka panjang untuk memastikan rakyat negara ini mempunyai jati diri dan rasa cinta terhadap kebudayaan nasional.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, pada 16 Oktober 1971, Perdana Menteri mengakui bahawa bentuk dan corak kebudayaan sesuatu bangsa hanya dapat dipastikan setelah menempuh proses timbang terima masyarakatnya serta menempuh ujian masa yang sesetengah unsur itu diterapkan menjadi bentuk kebudayaan yang kekal, sementara yang lain ditolak dan ditinggalkan. Bagi Tun Abdul Razak Hussein, dalam kehidupan bermasyarakat, tetap akan berlaku proses evolusi atau penyerapan nilai baharu yang berpunca daripada pertumbuhan dari dalam atau melalui hubungan penemuan dari luar yang memberikan ketegasan dan kekuatan kepada sesuatu masyarakat.

Usaha yang dilakukan melalui kongres itu, diakui oleh Perdana Menteri ketika itu, sebagai “meneroka jalan ke arah matlamat yang hanya dapat dilihat hasilnya beberapa generasi yang akan datang.” Rumusan atau dasar dari atas ke bawah yang bersifat takrif autoriti itu diterima dan diguna pakai oleh kerajaan, badan bukan kerajaan, budayawan dan ilmuwan, serta masyarakat umum selepas kongres itu.

Sejak itu, para pemimpin dan budaya selalu merujuk Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai antara dasar penting yang menyumbang ke arah kelahiran sebuah negara bangsa. Integrasi budaya juga penting sama seperti pentingnya integrasi politik, wilayah, ekonomi, politik dan pendidikan. Soal identiti sebagai sesuatu bangsa yang berbudaya dan bertamadun sendiri, berteraskan Islam, dianggap penting untuk mencanaikan jati diri bangsa Malaysia yang majoritinya Islam dan Melayu serta bumiputera meskipun etnik bukan Melayu menyifatkannya sebagai usaha asimilasi dan percubaan untuk menghakis budaya etnik lain. Kementerian terbabit menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam kerangka dasar budaya yang difahami mengikut takrif autoriti, iaitu dasar formal dari atas ke bawah.

Dengan itu, diharapkan agar dasar berkenaan dapat dicambah dan disebarluaskan kepada pelbagai peringkat masyarakat, tidak kira di kota atau desa. Media massa, terutama televisyen yang begitu popular terutama dari dekad 1970-an hingga pertengahan 1990-an, membantu kerajaan melaksanakan dasar yang berkaitan dengan budaya. Namun demikian, mulai dekad 1990-an, oleh sebab keghairahan untuk mencapai kemajuan dan pembangunan dari segi pelajaran, prasarana, ekonomi dan pendidikan, soal kebudayaan semakin dipinggirkan, malah tidak terdapat percubaan yang bermakna dilakukan oleh kerajaan untuk meneruskan dasar tersebut secara agresif.

Pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan bukanlah mudah, bukan sahaja kerana konsepnya yang abstrak, tetapi juga kerana kewujudan pelbagai golongan, terutama kaum bukan Melayu yang meragui dan mempertikaikannya. Secara khusus, pelbagai kumpulan dan pertubuhan menentang dasar tersebut yang mempunyai agenda untuk menegakkan budaya dan bahasa etnik berkenaan. Mereka enggan berkorban dan berkompromi. Bukan sahaja soal seni dan budaya yang membabitkan tarian dipertikaikan, tetapi juga yang membabitkan bahasa. Keadaan ini bertambah buruk lagi apabila gelombang globalisasi semakin hebat. Politik bahasa dan budaya kadangkala begitu hangat sehingga menimbulkan konflik tajam.

Dalam tempoh beberapa abad itu, kerajaan turut memperlihatkan perubahan dari segi kerangka pemikirannya apabila aspek budaya digandingkan dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada dekad 1980-an, sebelum mengalami perubahan lagi pada dekad seterusnya. Skop liputan budaya tidak lagi sekadar terbatas pada kegiatan budaya dan seni atau belia dan sukan, tetapi diperluas kepada pelancongan kerana pelancongan bagai tidak dapat dipisahkan daripada budaya. Budaya dijual melalui kegiatan pelancongan dan kerap kali yang ditonjolkan ialah budaya yang serasi dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Budaya Malaysia mula didedahkan kepada khalayak yang lebih luas melalui kegiatan pelancongan, termasuk dengan mempersembahkan kebudayaan kebangsaan di pentas antarabangsa. Syarikat Penerbangan Malaysia dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, misalnya, pernah mengadakan persembahan budaya di pelbagai kota dunia, termasuk di Australia, Jepun, United Kingdom, Perancis dan Amerika Syarikat.

Dari satu segi, kehadiran pelbagai perkampungan budaya atau Malaysia mini di beberapa buah negeri membantu usaha memantapkan pemahaman kebudayaan kebangsaan, selain menonjolkan budaya unik etnik terbabit. Keterbukaan sikap kerajaan diserlahkan apabila perayaan utama suku kaum, termasuk Gawai Dayak, Pesta Kaamatan, dan Thaipusam, turut disambut pada peringkat nasional, dengan mengadakan rumah terbuka.

Kegiatan rumah terbuka dilakukan oleh kerajaan persekutuan dan negeri, serta syarikat korporat. Melalui usaha sedemikian, bukan sahaja interaksi pelbagai etnik dimungkinkan, tetapi rumah terbuka berkenaan membolehkan etnik lain lebih memahami budaya etnik yang meraikannya dan pendekatan sedemikian tentu memberikan kesan positif terhadap kesepaduan dan perpaduan sosial. Secara tidak langsung, budaya tertentu etnik terbabit menyerap dalam kebudayaan kebangsaan melalui acara rasmi sedemikian, sekali gus bagai mengabsahkan penerimaannya.

Bagi Shamsul Amri Baharuddin, “Keterbukaan pihak kementerian dalam mentafsir budaya Malaysia amat menarik kerana hal ini berkaitan dengan konsep Wawasan 2020, yang akhirnya bertujuan untuk mewujudkan ‘bangsa Malaysia’ yang bersatu padu pada tahun 2020 dengan menggunakan acuan masyarakat Malaysia. Ternyata ‘acuan’ tersebut bersifat inklusif, yakni memasukkan komponen budaya kaum bukan Melayu juga, dan tidak lagi berunsur eksklusif, yakni semata-mata mengandungi komponen Melayu, seperti yang dianjurkan pada tahun 1970 dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.”

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Julai 2015.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

Hantar Maklum Balas Anda