MENJUNJUNG DULI

Home » Indera Sari » MENJUNJUNG DULI

Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

“Istiadat menjunjung duli amat unik dan keunikan ini hanya ada di Perak,” kata Toh Amar Seri Diraja Dato’ Ayob Hashim, Setiausaha Dewan Negara Perak. Istiadat ini merupakan upacara turun-temurun yang perlu dilalui oleh Raja Muda, Raja Dihilir, Raja Bongsu, pembesar empat, pembesar lapan, pembesar 16, dan pembesar 32 sebelum dilantik secara rasmi bagi menyandang jawatan masing-masing.

Bagi menyempurnakan adat istiadat tersebut, sultan Perak akan menetapkan tarikh yang dirasakan sesuai. “Pada kebiasaannya, adat istiadat ini dijalankan berasingan selepas hari pertabalan atau semasa hari keputeraan baginda,” jelas Ayob.

Dalam istiadat ini, seseorang pembesar yang dilantik untuk menyandang jawatan tersebut akan dimaklumkan lebih awal untuk hadir di istana sebelum mata hari naik. Pada peringkat pertama, pembesar akan menghadiri istiadat sumpah ciri. Istiadat ini melibatkan Toh Seri Nara Diraja, yang juga dikenali sebagai pawang diraja. Pawang diraja akan membaca perjanjian dalam bahasa Sanskrit. Setelah selesai membaca perjanjian tersebut, pawang diraja akan merenjis pembesar tersebut dengan beras kunyit dan air mawar.

Sebaik-baik sahaja selesai upacara tersebut, semua pembesar akan dibawa ke bilik khas untuk istiadat menjunjung duli yang disempurnakan oleh sultan. Semasa upacara tersebut berlangsung, pembesar yang dilantik secara rasmi itu akan masuk menyembah sultan di Balairung Seri.

“Pembesar akan menyembah tuanku. Kemudian pembesar akan meninggalkan keris yang ada padanya. Selepas itu, pembesar mengesot hingga tangga singgahsana untuk membolehkan tuanku menjalankan istiadat pelantikan secara rasmi sebagai pembesar istana,” jelas Ayob.

Semasa berjalannya istiadat menjunjung duli, nobat diraja dimainkan. Pada ketika ini, sultan akan menggunakan Pedang Cura Si Manja Kini. Baginda akan lebih dahulu mencelup pedang tersebut di dalam bekas yang berisi air dari tujuh kuala sungai sebelum meletakkannya di bahu pembesar bagi menandakan bahawa pembesar itu telah dilantik secara rasmi.

Semasa istiadat ini berlangsung juga, pembesar itu diberi watikah pelantikan. Namun demikian, bagi pembesar yang mempunyai keturunan, mereka diberi sepasang Keris Bawau, iaitu keris kuasa kepada keturunan tersebut untuk menyambung legasi sebagai pembesar istana.

Setelah selesai upacara meletakkan pedang di bahu, pembesar itu akan berundur hingga tempat kerisnya diletakkan. Kemudian pembesar itu kembali menyembah sultan sebelum keluar dari istana. “Sebaik-baik pembesar menyembah sultan, mereka akan diserkup dengan kain hitam dan terus dibawa keluar dari istana,” terang Ayob.

Waktu ini merupakan masa yang cukup mencabar kepada pembesar yang baru dilantik kerana perlu melalui pantang larang yang dinyatakan kepada mereka lebih awal. Mereka dilarang sama sekali untuk bertemu dengan sultan, apatah lagi melihat baginda atau mengambil tahu tentang baginda, tidak kira di mana-mana mereka berada. Barangkali inilah ujian terhebat mereka sebagai pembesar istana.

“Syarat lain ialah mereka yang sudah melalui istiadat ini perlu menyeberangi Sungai Perak dan tidak dibenarkan pulang ke istana dalam tempoh masa seminggu,” Ayob memberikan penerangan dengan penuh semangat sebagai “veteran” istana diraja Perak.

Apabila ditanya tentang akibat yang menanti mereka yang melanggar pantang larang tersebut, Ayob berkongsi pengalaman yang dilaluinya sendiri setelah secara tidak sengaja melanggar pantang larang itu. Menurut Ayob, semasa menjalani istiadat tersebut, beliau membawa diri dengan keluarga ke Melaka selama lebih kurang dua minggu.

Cerita Ayob lagi, dalam tempoh “edah” itu, beliau berhati-hati dalam setiap perbuatan bagi mengelakkan perkara yang tidak baik berlaku. “Setiap pagi sebelum saya membaca akhbar, saya akan meminta isteri untuk melihat kandungannya lebih dahulu kerana khuatir terdapat gambar sultan.”

Lumrah manusia, dalam menjaga pantang larang tersebut, kadangkala mereka gagal juga. Ayob terlihat gambar sultan dalam akhbar tersebut. Pada tengah harinya, sewaktu beliau dan isteri ingin menikmati makan tengah hari, keretanya dilanggar oleh sebuah kereta lain yang menyebabkan pintu tempat duduknya remuk. Kebetulan atau suratan?

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Julai 2015.

Hantar Maklum Balas Anda