SEHATI SEJIWA MELANGKAH KE HADAPAN

Home » Fokus » SEHATI SEJIWA MELANGKAH KE HADAPAN

Oleh Jeniri Amir

Sesiapa yang pernah menyaksikan sambutan hari kemerdekaan Indonesia pasti mengaguminya. Suasananya begitu meriah, berwarna-warni dan menguja, dengan bendera menghiasi kota, bandar dan kampung. Pelbagai kegiatan, yang mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan yang mendalam terhadap bangsa, dianjurkan. Pelbagai aktiviti diadakan seawal pukul 8.00 pagi bagi menyemarakkan sambutan. Antaranya, lagu Indonesia Raya dikumandangkan, detik proklamasi, gelora salam merdeka, derap langkah nasionalisme, renungan jasa pahlawan, penaburan bunga di makam pahlawan, dan berkobarnya semangat pemersatuan. Sekitar 240 juta orang rakyat negara 17 500 buah pulau itu menyambut hari kemerdekaan yang diraikan pada 17 Ogos dengan penuh semangat.

Berbanding dengan kita, Indonesia mencapai kemerdekaan dengan jalan yang lebih sukar dan berliku. Mereka merdeka dengan darah dan air mata. Begitu banyak pejuang dan rakyatnya terkorban. Bagi rakyat Indonesia, hari kemerdekaan bukan sahaja peluang untuk mengingati pengorbanan para pejuang dan pahlawan mereka dalam menuntut kemerdekaan sehingga bebas daripada cengkaman dan penderitaan penjajahan Belanda, tetapi saat untuk mereka merenung cara untuk mengisi kemerdekaan itu agar lebih bererti.

Kemerdekaan, bagi mereka, ialah lambang kesatuan, kesepaduan, perpaduan dan kebersamaan. Rakyat Indonesia tidak perlu mengadakan kempen, apatah lagi dipujuk atau dirayu untuk menyambut hari yang penuh makna itu. Adakah 30 juta orang rakyat kita juga mempunyai sikap yang sama ketika menyambut hari kebangsaan atau hari kemerdekaan? Adakah sebahagian daripada rakyat kita tidak mempedulikannya kerana mereka lebih mengutamakan urusan lain, termasuk perniagaan? Mungkinkah hari kebangsaan atau hari kemerdekaan tidak begitu memberikan erti kepada mereka kerana hari itu sama dengan hari lain?

Kemerdekaan sepatutnya diraikan oleh semua rakyat, tanpa mengira etnik, kedudukan, kelas dan agama. Semua negeri perlu meraikannya bersama-sama, sesuai dengan sistem persekutuan yang kita amalkan. Hari kebangsaan atau hari kemerdekaan ialah hari yang perlu diraikan oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira ideologi politik. Kepentingan politik, puak, dan kaum tidak seharusnya mengatasi kepentingan negara. Inilah waktu terbaik untuk rakyat pelbagai etnik di negara ini membuktikan taat setia, semangat patriotisme, dan identiti sebagai negara bangsa. Inilah masa terbaik untuk rakyat kita memperagakan jati diri dan semangat kesetiaan dan patriotisme yang tulen. Kita semua mempunyai hak yang sama atas negara ini, justeru kita turut mempunyai tanggungjawab yang sama untuk mempertahankan negara ini daripada sebarang ancaman dan gugatan. Jika kita dapat menyemai semangat kesatuan dan kebersamaan berdasarkan konsep kesatuan dalam kepelbagaian dan patriotisme tulen, kita pasti dapat terus menjadi negara yang stabil, makmur dan sejahtera. Rasa cinta yang mendalam dan semangat esprit de corps dalam kalangan rakyat merupakan tunjang bagi memastikan negara ini terus bebas daripada sebarang bentuk penjajahan.

Sebenarnya kemenangan Vietnam dalam perang menentang Amerika Syarikat dan Perancis dahulu bukan berpunca daripada kekuatan ketenteraan, sebaliknya ketahanan nasional rakyatnya. Rakyatnya, meskipun dalam serba kedaifan dan kekurangan dari segi senjata, memiliki semangat juang dan pengorbanan yang tinggi kerana sedar bahawa maruah negara tidak boleh dibenarkan untuk diinjak-injakkan oleh negara asing. Sejauh manakah rakyat kita bersedia untuk bersatu jika negara ini menerima ancaman musuh dari luar dan dalam? Mungkinkah sebahagiannya lebih rela berpeluk tubuh dan membiarkan pasukan bersenjata berada di barisan hadapan? Ketahanan kita untuk menghadapi ancaman musuh banyak bergantung pada ketahanan mental, jati diri dan maruah. Jika mereka bersedia untuk berkorban dengan apa-apa cara sekalipun, hal ini bermaksud bahawa mereka merupakan rakyat yang cinta akan negara dan mempunyai semangat patriotisme yang tidak dapat dipertikaikan.

Oleh itu, kita bukan sahaja perlu berbangga dengan lambang kebangsaan negara, termasuk bendera Malaysia, tetapi bersedia untuk berkorban bagi mempertahankan negara ini daripada ancaman musuh dari dalam dan luar. Apakah makna bendera Malaysia bagi rakyatnya? Adakah kita menjadikannya sebagaimana rakyat Indonesia menghormati bendera merah putih mereka yang melambangkan keberanian?

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Ogos 2015.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

Hantar Maklum Balas Anda