NOBAT DIRAJA PERAK

Home » Indera Sari » NOBAT DIRAJA PERAK

Oleh Muhamad Rafiq Abdul Rahman

“Hanya keturunan Kalur yang boleh memainkan alat nobat diraja Perak,” tegas Ketua Nobat Diraja Perak, Toh Setia Guna Abdul Aziz Yahya, memulakan perbualan. Mengikut adat istiadat Perak, sultan tidak dianggap berdaulat sehingga ditabalkan dengan bunyi-bunyian nobat.

Nobat merupakan satu daripada 19 alat kebesaran diraja Perak. Mengikut sejarah, perkataan nobat berasal daripada bahasa Parsi, naubat, yang bermaksud sembilan jenis. Menurut Aziz, yang dimaksudkan dengan sembilan jenis itu ialah alatannya, iaitu nafiri, serunai, gendang nengkara, gendang nobat (gendang nyenyalu), gendang penengkah, dua pemukul gendang, lapik nengkara dan pemukul nengkara. Namun begitu, di Perak, bilangannya hanya lima. Antara alatan nobat tersebut, gendang nobat yang paling dihormati.

Mengikut sejarah, nobat mula dimainkan sejak zaman kesultanan Sultan Muzaffar Shah. Nobat merupakan kumpulan “pancaragam” diraja yang diguna pakai sejak zaman-berzaman untuk istiadat pertabalan raja. Negeri lain yang mempunyai kumpulan nobat diraja ialah Kedah, Terengganu dan Selangor.

Yang menariknya, ahli nobat diraja Selangor pun berasal daripada keturunan Kalur dari Perak. Hal ini bermula apabila Raja Lumu, anak Daeng Chelak dari Bugis yang dikatakan akan bergelar Yang di-Pertuan Selangor, telah di undang oleh Sultan Muzaffar Shah III ke Kuala Bernam. Kehadiran rombongan Raja Lumu disambut dengan penuh adat istiadat diraja secara besar-besaran, termasuklah pukulan nobat dan tiupan nafiri.

Undangan tersebut bertujuan untuk menguji sama ada Raja Lumu benar-benar berketurunan raja yang berdaulat ataupun sebaliknya. Setelah melalui pelbagai ujian, akhirnya Sultan Muzaffar Shah III mengesahkan pelantikan Raja Lumu sebagai Sultan Salehuddin Shah sementara Daeng Loklok bergelar Datuk Maharaja Lela Husin. Rentetan daripada peristiwa itu, nobat dijadikan sebagai alat diraja Selangor dan disimpan di Balai Nobat Diraja, Istana Alam Shah.

Sejak itu, keturunan Kalur yang menetap di Kampung Pulau Tiga, mukim Kampung Gajah, Perak, dilantik secara turun-temurun sebagai pemain nobat diraja Selangor. “Datuk dan bapa saya merupakan pemain nobat diraja Selangor, manakala saya berkhidmat di Perak,” jelas Aziz yang ditemui di rumahnya di Kampung Gajah.

Ujar Aziz, sejak dahulu lagi, memang keturunan Kalur diberi tanggungjawab untuk memainkan nobat diraja. Aziz, yang mula berkhidmat di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, sejak tahun 1966, turut menyatakan bahawa belum ada keturunan lain, selain Kalur, yang memohon jawatan sebagai pemain nobat diraja.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Ogos 2015.

Hantar Maklum Balas Anda