ALAM SEBAGAI DOKTOR

Home » Fokus » ALAM SEBAGAI DOKTOR

Oleh Chua Hun Pin dan Mohd. Irwani Hafiz Sahid

Herba ubat dan tumbuhan beraroma sudah zaman-berzaman dimanfaatkan secara luaran atau dalaman untuk penjagaan kesihatan dan pemeliharaan kesempurnaan mental, fizikal dan spiritual. Penjagaan kesihatan merangkum sama ada mencegah dan merawat sebilangan penyakit, menyelenggarakan kesihatan ataupun meningkatkan tahap kesihatan seseorang. Seiring dengan perkembangan ubat moden dan kimia sintetik pada awal abad ke-19, herba ubat masih berupaya mengekalkan peranan pentingnya dalam penjagaan kesihatan harian, terutama dalam kalangan penduduk luar bandar. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 1993, hampir 80 peratus penduduk dunia masih menggunakan ubat yang berasaskan bahan herba ubat kerana bahan ini merupakan sumber yang murah diperoleh.

Dari segi sains, khasiat herba ubat, khususnya, terletak pada kandungan metabolit sekundernya yang juga dikenali sebagai sebatian fitokimia. Sebatian fitokimia merangkum bahan kimia dalam kumpulan alkaloid, glikosida, flavonoid, steroid dan seumpamanya. Sebatian ini terkandung dalam bahagian yang tumbuhan. Kerap kali sebatian ini tertabur pada keseluruhan tumbuhan. Sebahagian daripada bahan kimia ini bersifat racun, tetapi dapat dijadikan sebagai ubat penawar pada tahap dos yang rendah.

Tumbuhan herba, dalam konteks sains botani, merujuk tumbuhan yang tidak berkayu atau sedikit berkayu, yang membezakannya daripada tumbuhan jenis renek dan berkayu. Dari segi perubatan tradisional dan umum pula, perkataan herba merangkum sebarang tumbuhan, keseluruhan atau bahagian tertentunya (daun, batang, bunga, buah, umbisi dan akar), yang digunakan atau diproses untuk masakan, kosmetik, perisa dan ubat. Dalam konteks ini, istilah herba merangkum sejulat besar tumbuhan dari jenis peringkat rendah, seperti alga (misalnya, Chlorella dan Spirulina), kulat (misalnya, Ganoderma) sehingga tumbuhan renek dan pokok berkayu. Hasilannya lazimnya dirujuk sebagai produk botani, bioperubatan atau penambah diet herba.

Tumbuhan beraroma merujuk kumpulan tumbuhan yang mengandungi minyak pati, sama ada dalam bahagian tertentu ataupun keseluruhan tumbuhan. Minyak pati ialah minyak mudah meruap yang mempunyai aroma dan lazimnya diekstrak daripada tumbuhan melalui proses penyulingan.

Sejarah Penggunaan Herba Ubat dan Tumbuhan Beraroma

Daripada rekod fosil, ahli sains membuat andaian bahawa manusia mula menggunakan tumbuhan sebagai sumber semula jadi bagi perubatan sejak awal pertengahan zaman Paleolitik pada 60 ribu tahun dahulu. Kajian sistematik terhadap penggunaan tumbuhan ubat pertama kalinya dilakukan oleh Hippocrates sekitar tahun 400 S.M. Dia menyenaraikan resipi rawatan berasaskan herba untuk 400 jenis penyakit dalam Materia Medica.

Menurut sejarah perubatan, rekod terawal penggunaan herba di China ditulis pada kira-kira 2800 S.M. dalam Chinese Shen- Nung Herbal Classic. Di India pula, rekod awal dapat dijumpai dalam Vedas sekitar 1400 hingga 1500 S.M. Herba yang menunjukkan keberkesanan ketika mengubati penyakit sering dianggap sebagai tumbuhan suci dan digunakan dalam upacara keagamaan, seperti istiadat pemujaan. Di Mesir 4000 tahun yang lalu, herba biasanya ditanam sekitar rumah ibadah.

Malaysia ialah negara ke- 12 terkaya di dunia dari segi kepelbagaian flora dan fauna. Daripada 6000 spesies tropika yang mempunyai nilai perubatan, 2000 spesies didapati mempunyai ciri terapeutik dan digunakan sejak berkurun-kurun sebagai ramuan bagi penyediaan pelbagai jenis ubat tradisional oleh pelbagai kaum.

Bagi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, penggunaan herba ubat untuk kesihatan bukan lagi perkara baharu, bahkan amalan turun-temurun sebelum wujudnya perubatan moden. Pengetahuan tentang jenis tumbuhan yang sesuai digunakan diperoleh dan dikumpulkan melalui siri pengalaman “percubaan dan kesilapan”. Meskipun bukan semua usaha ini berjaya, sebilangan besarnya menunjukkan hasil.

Malaysia sememangnya kaya dengan sumber botani kerana mempunyai 12 ribu hingga 15 ribu spesies tumbuhan berbunga dan 1165 spesies paku pakis. Sejumlah 1200 daripadanya ialah spesies yang direkodkan sebagai tumbuhan ubat dan sebanyak 35 spesies paku pakis digunakan dalam perubatan tradisional.

Pada mulanya, khasiat tumbuhan tertentu yang dikenal pasti sebagai bahan pengubatan hanya diketahui dan diamalkan oleh masyarakat setempat sahaja, kemudian penggunaannya disebarkan dan dikembangkan kepada masyarakat umum setempat. Hal ini membawa perkembangan pengetahuan etnobotani dan amalan tradisi berasaskan penggunaan herba ubat yang diwarisi turun-temurun.

***


Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2015.


Posted in: Fokus, Pilihan Utama

Hantar Maklum Balas Anda