LARI

Home » Pilihan Utama » LARI

Oleh AAS Chinkara

“Mengapakah komunis menang?”tanya seorang murid sekolah menengah selepas selesai menonton teater Lari. Jelas terlakar wajah tidak puas hati pada mukanya selepas babak terakhir teater tersebut. Pastinya dia tidak selesa dengan adegan yang menggambarkan kemenangan pengganas komunis.

Rakannya turut menimbulkan pertanyaan. “Mengapakah Ramlah tidak mencari anaknya, Dina, lebih dahulu? Mengapakah Leha yang dicarinya lebih dahulu?”

Dalam babak terakhir teater itu, berlaku pertempuran antara penduduk Kampung Manggis, yang bertindak sebagai pengawal kampung, dengan segerombolan pengganas komunis. Semua anggota pengawal kampung serta Leha dan Dina terbunuh. Hanya Ramlah yang terselamat – cuma cedera ringan dan pengsan – daripada malapetaka tersebut.

Pertanyaan yang ditimbulkan oleh kedua-dua orang murid itu memang menarik walaupun tiada jawapan diperoleh. Yang pertama, pertanyaan tersebut menunjukkan bahawa kedua-dua orang murid itu menghayati teater yang dipentaskan walaupun pelakonnya murid sekolah rendah, bahkan mereka mungkin mengenali pelakonnya. Hal ini menunjukkan bahawa otak mereka sentiasa berfikir dan menganalisis setiap babak teater tersebut.

Yang kedua, mereka sanggup mengeluarkan belanja RM3 untuk membeli tiket teater tersebut. Pastinya teater itu mempunyai daya tarikan sehingga mereka bertindak demikian. Mereka duduk dalam barisan kedua, di kerusi yang dikhaskan untuk tetamu kehormat, yang tidak diduduki sesiapa. Tindakan mereka itu membuktikan bahawa mereka berada di situ bukan semata-mata untuk meramaikan majlis, justeru mereka penonton serius – menonton dan menganalisis teater tersebut.

Ya, mengapakah teater Lari perlu menggambarkan kemenangan pengganas komunis? Mengapakah tidak digambarkan kemenangan anggota pengawal kampung Kampung Manggis? Tentu sekali pengarah Mohd. Izman Saroni mempunyai justifikasi untuk menggambarkan kejayaan pengganas komunis dalam pertempuran tersebut. Mungkin Mohd. Izman mahu menunjukkan kezaliman pengganas komunis – memang tiada pengganas komunis yang tidak zalim.

Barangkali boleh sahaja teater Lari memaparkan kemenangan anggota pengawal kampung, apatah teater tersebut hanya fiksyen semata-mata, yang tiada kaitan dengan yang hidup dan yang mati. Mohd. Izman tentu sahaja boleh melakukannya, tetapi dia sengaja tidak berbuat demikian. Dalam drama bersiri Combat yang disiarkan oleh televisyen pada tahun 1970-an, tentera Amerika Syarikat tidak pernah tewas kepada tentera Jerman dalam Perang Dunia Kedua, walaupun tentu sekali sekala mereka kalah.

Untuk menjawab pertanyaan kedua, mungkin Ramlah menemukan mayat Leha lebih dahulu kerana berada berhampiran dengannya. Kemudian barulah dicari anaknya pula, yang berada jauh daripadanya. Mungkin juga hubungan baik dan mesra antara Ramlah dengan Leha menyebabkannya bertindak sedemikian, lebih-lebih lagi dialah yang merawat kecederaan Leha yang meninggalkan komunis, yang dianggapnya tidak mendatangkan manfaat.

Pastinya ada persoalan lain yang bermain dalam benak penonton lain. Barangkali ada penonton yang tertanya-tanya tentang sebab hanya ada dua orang pelakon lelaki daripada 13 orang pelakon. Semua anggota pengawal kampung terdiri daripada pelakon perempuan dan mereka tidak kelihatan seperti melakonkan watak lelaki berdasarkan pakaian mereka. Daripada dua orang lelaki yang melakonkan watak pengganas komunis, seorang sahaja yang mempunyai dialog. Tentunya Mohd. Izman mempunyai alasan untuk berbuat demikian.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Oktober 2015.

Posted in: Pilihan Utama, Teater

Hantar Maklum Balas Anda