MEREKA MENYEBUTNYA PEKAN IPOH

Home » Fokus » MEREKA MENYEBUTNYA PEKAN IPOH

Oleh Zabidin Ismail

Ipoh ialah ibu kota negeri Perak Darul Ridzuan. Ipoh kian pesat membangun sebagai bandar pada abad ke-19 kerana kerancakan perusahaan bijih timah. Namun begitu, menurut Khairul Zaman Ishak dalam makalah “Evolusi Sebuah Bandar Raya: Satu Perspektif Sejarah Sosioekonomi dan Petempatan Bandar Raya Ipoh 1880-1983”, petempatan awal di Ipoh dapat dikesan melalui lakaran di Gua Tambun yang dihuni semenjak zaman batu lagi.

Kisah kedatangan seorang nakhoda dari Sumatera bersama-sama pengikutnya mudik Sungai Kinta sehingga tiba di Gunung Cheroh pada abad ke-16 merupakan mitos asal usul Ipoh. Ketika mereka berehat di kaki gunung tersebut, tiba-tiba jin datang memberitahukan nama sungai yang dimudiki itu seraya mengarahkan nakhoda tersebut menggunakan nama Kulup Kinta. Selepas kejadian aneh tersebut, mereka mengambil keputusan untuk menetap di situ.

Sejarah Penerokaan Ipoh

Kawasan perkampungan di Gunung Cheroh dan sekitarnya menjadi kepunyaan Kulup Kinta kerana dia orang paling awal meneroka hutan di situ. Nama Kulup Kinta lama-kelamaan semakin dilupakan kerana digantikan dengan gelaran Dato’ Panglima Kinta oleh sultan Perak. Dato’ Panglima Kinta yang pertama ialah Tuk Tambak bin Maharaja Nara Wangsa Nyiur Manis.

Salah seorang ahli keturunan Kulup Kinta yang bernama Muhammad Yusuf telah dilantik menjadi Dato’ Panglima Kinta ke-10. Dia salah seorang Orang Besar Lapan Perak dan diberi hak untuk menuntut 10 peratus daripada hasil bijih timah yang dilombong di jajahannya. Dia juga pelombong bijih timah di Lahat, menurut Khoo Salma Nasution dan Abdul-Razzaq Lubis dalam Kinta Valley: Pioneering Malaysia’s Modern Development.

Banyak pihak menggunakan sumber mitos tersebut sebagai sejarah awal pembukaan Ipoh. Menurut Mohd. Nizar Md. Nurdin dalam makalah “Bandar Raya Ipoh: Dewasanya Sebuah Kampung”, hal ini dibuktikan dengan tercatatnya “Kampung Sakai” dalam peta yang dilukis oleh pencari galian dari Perancis, de Morgan, yang diterbitkan pada tahun 1886, yang dikatakan merujuk mitos kedatangan Kulup Kinta di Gunung Cheroh.

Namun begitu, rekod terawal tentang Ipoh terdapat dalam peta yang dilakarkan oleh J. W. W. Birch pada tahun 1874, yang mencatatkan “Epau” sebagai kampung Melayu dan orang Asal di tebing Sungai Kinta. Dalam buku Perak and The Malays, yang diterbitkan pada tahun 1878, J. F. McNair menyebut petempatan yang bernama “Epu” pada sebuah peta. Gambaran petempatan silam itu dinyatakan sebagai “pada ketika itu, petempatan itu mungkin tidak lebih daripada sekumpulan pondok beratap dan sebuah kawasan pendaratan, dan tidak banyak perkara yang kelihatan berubah lima tahun kemudian apabila pencari gali lombong dari Perancis yang bernama de Morgan menyusun peta kawasan itu. Peta tersebut, yang diterbitkan pada tahun 1886, menggambarkan Ipoh sebagai ‘Kampung Melayu atau Kampung Sakai’.”

Oleh itu, ada kemungkinan bahawa Kampung Sakai yang terdapat dalam peta de Morgan itu merupakan kawasan petempatan yang sama. Namun demikian, dalam catatan lain, Birch mengatakan bahawa dia pernah melawat Kampung Sultan Ismail pada 2 Mei 1875 dan kampung ini juga terletak di tebing Sungai Kinta berdekatan dengan Lahat sekarang, menurut P.L. Burns, editor The Journals of J. W. W. Birch, First Resident To Perak 1874-1875.

Jurnal itu turut menyatakan bahawa ketika Birch tiba, Kampung Sultan Ismail sudah berkembang pesat dan dia terpaksa menunggu lama untuk berjumpa dengan Sultan Ismail kerana baginda sibuk mengurus lombong bijihnya. Kampung ini juga dikatakan turut menyokong dan mempengaruhi kewujudan Ipoh.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2015.

Posted in: Fokus, Pilihan Utama

Hantar Maklum Balas Anda