MASJID NEGARA MASJID PERPADUAN

Home » Pilihan Utama » MASJID NEGARA MASJID PERPADUAN

Oleh AAS Chinkara

Nak bina masjid di atas bukit?” Barangkali itulah pertanyaan yang dilontarkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj apabila Datuk Baharuddin Abu Kassim memberikan cadangannya tentang pembinaan sebuah masjid di Kuala Lumpur. Pada bulan Disember 1959, Tunku Abdul Rahman meminta Baharuddin mereka bentuk sebuah masjid untuk kegunaan rakyat.

Menurut Baharuddin, beliau memilih bukit sebagai tapak masjid tersebut untuk menonjolkan kepentingannya. Walau bagaimanapun, Tunku Abdul Rahman berbeza pendapat. Beliau melihat kedudukan masjid di atas bukit itu sebagai penyeksaan kepada penggunanya. Beliau mahu masjid yang mudah dikunjungi.

Maka Baharuddin diminta membandingkan tapak yang dipilihnya dengan tapak yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman, dengan mengambil kira kedudukan stesen kereta api. Perdana Menteri Malaysia yang pertama itu memilih tapak yang terdirinya Masjid Negara sekarang. Hujah yang diberikannya memang bernas.

Menurut Tunku Abdul Rahman, masjid menjadi tempat untuk orang mendapatkan perlindungan dan menunaikan sembahyang. Pada ketika itu, rakyat dari seluruh negara pergi ke Kuala Lumpur dengan menggunakan kereta api. Oleh itu, yang perlu dilakukan oleh mereka apabila tiba di stesen kereta api Kuala Lumpur ialah menyeberang jalan untuk ke masjid bagi melaksanakan dua rasional yang disebut oleh Bapa Kemerdekaan. Dengan sebab itu, Masjid Negara dibina di tapaknya sekarang.

Cadangan untuk membina Masjid Negara sebagai simbol kemerdekaan negara dibangkitkan oleh Majlis Eksekutif Persekutuan pada 30 Julai 1957. Lanjutan daripada itu, Jawatankuasa Pusat Masjid Negara ditubuhkan, diketuai oleh Tun Abdul Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Jawatankuasa ini berperanan untuk mencari sumbangan bagi pembinaan Masjid Negara.

Bersama-sama Datuk Hisham Albakri dan arkitek Inggeris, H. Ivor Ashley, Baharuddin, yang belum pun setahun berkhidmat di Jabatan Kerja Raya, mereka bentuk Masjid Negara. Pada waktu itu, atap masjid yang mempunyai kubah berbentuk bawang amat popular di Asia Barat. Namun demikian, setelah meneliti beberapa banyak reka bentuk masjid di seluruh dunia, Baharuddin mengambil keputusan untuk melakukan kelainan. Beliau mencadangkan supaya Masjid Negara mempunyai atap berbentuk payung.

“Apa masjid rupa ini?” Tunku Abdul Rahman mempersoalkan cadangan reka bentuk yang dikemukakan oleh Baharuddin – pastinya terpengaruh oleh reka bentuk masjid di Asia Barat.

Namun demikian, bukan Tunku Abdul Rahman yang memberikan persetujuan terhadap cadangan tersebut, tetapi Abdul Razak. Menurut Baharuddin, cadangan tersebut dikemukakannya kerana beliau mahu “lari” daripada reka bentuk konvensional. Baginya, payung melambangkan kedaulatan negara. Yang tidak dapat dinafikan ialah penggunaan payung menunjukkan keaslian reka bentuk masjid di negara ini.

“Setiap kali kita melihat Yang di-Pertuan Agong, kita dapat melihat payung diraja yang berwarna kuning,” Baharuddin menjelaskan sebab beliau memilih reka bentuk payung.

Oleh sebab tanah yang diperuntukkan oleh kerajaan tidak cukup, beberapa buah bangunan diambil alih dan ganti rugi dibayar kepada pemiliknya. Masjid Negara dibina di atas tanah seluas dua hektar daripada 5.3 hektar. Penyediaan tapak untuk pembinaannya bermula pada tahun 1960. Tempoh dua tahun diambil untuk meratakan tapak dan menebang beberapa banyak pokok besar. Sistem saliran dan tembok penahan dibina kerana terdapat sungai bawah tanah di situ.

Tiga tahun kemudian, siaplah pembinaan Masjid Negara yang bernilai RM10 juta. Itulah masjid terbesar dan termoden di Asia Tenggara pada ketika itu. Yang di-Pertuan Agong III, Tuanku Syed Putra Jamalullail, merasmikan Masjid Negara pada 27 Ogos 1965 sebelum sembahyang Jumaat.

Ada cadangan untuk menamai masjid baharu itu sebagai Masjid Tunku Abdul Rahman. Namun demikian, Tunku Abdul Rahman menolak cadangan itu. Menurutnya, masjid itu lebih sesuai dinamai Masjid Negara.

Selepas majlis perasmian, Tunku Abdul Rahman mengarahkan pengawal keselamatan membuka pintu pagar masjid agar rakyat jelata dapat menjejakkan kaki di masjid baharu itu. Asalnya hanya tetamu undangan dibenarkan masuk ke dalam Masjid Negara. Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dikerumuni orang ramai yang ternyata gembira dengan masjid baharu itu. Bukan itu sahaja, Bapa Kemerdekaan kemudiannya dijulang dan diusung ke dewan jamuan.

***

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Disember 2015.

Hantar Maklum Balas Anda