Satu Hari di Kuala Kubu Bharu

Home » Catatan » Nota Editor » Satu Hari di Kuala Kubu Bharu

Ahli politik itu menggunakan bahasa kebangsaan ketika berucap dalam majlis yang bertaraf antarabangsa itu.  Yang dapat dikatakan ialah bahawa 99 peratus daripada ucapannya menggunakan bahasa kebangsaan. Sesekali beliau menggunakan perkataan dalam bahasa Inggeris kerana tidak dapat mencari padanannya dalam bahasa kebangsaan demi kelancaran ucapan. Ayat yang dibinanya pun dapat dikatakan baik. Dalam peperiksaan, beliau layak menerima pangkat A+. Pencapaian ini amat baik bagi orang yang bahasa pertamanya bukan bahasa Melayu.

Pengacara majlis antarabangsa tersebut mengambil tindakan yang aneh yang sama sekali bertentangan dengan ahli politik itu.  Beliau mengacarai majlis itu dengan menggunakan bahasa Inggeris – ada ketikanya juga beliau menggunakan bahasa kebangsaan –  walaupun mereka yang tidak memahami bahasa kebangsaan hanya 18 orang pengkarya oleh sebab mereka bukan rakyat negara ini, setelah merujuk buku cenderamata majlis antarabangsa tersebut.  Yang menambahkan keanehan ialah bahasa ibunda pengacara itu ialah bahasa Melayu.

Tanpa menidakkan kepentingan bahasa Inggeris pada hari ini, yang diyakini ialah bahawa Pesta Kesenian Antarabangsa Kuala Kubu Bharu itu dapat dianjurkan dengan menggunakan bahasa kebangsaan, terutama ketika majlis perasmian. Tiada apa-apa yang dapat dilakukan jika 18 orang pengkarya itu tidak menggunakan bahasa kebangsaan ketika berforum. Namun demikian,  inilah peluang untuk kita menunjukkan bahawa bahasa Melayu mampu digunakan dalam majlis yang bertaraf antarabangsa, terutama di tanah airnya, dan seterusnya menjadi bahasa antarabangsa yang disegani, seperti pada suatu ketika dahulu.  Sebagai pemimpin, ahli politik itu menunjukkan teladan yang baik dengan menggunakan bahasa kebangsaan ketika menyampaikan ucapannya.

Dari segi yang lain, pujian harus diberikan kepada Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan beberapa buah badan tempatan yang lain kerana menganjurkan Pesta Kesenian Antarabangsa Kuala Kubu Bharu.  Pesta (perkataan pesta digunakan sebagai padanan festival dalam bahasa Inggeris walaupun perkataan festival ada dalam kosa kata bahasa Melayu) ini menjadi manifestasi iltizam dan tekad sebuah pihak berkuasa tempatan, yang jauh daripada hiruk-pikuk kota, dikelilingi kehijauan yang mendamaikan, untuk sama-sama menyumbang kepada kemajuan seni, terutama seni visual, tanah air.

Kehadiran Pesta Kesenian Antarabangsa Kuala Kubu Bharu dalam takwim pesta negara menjadi bukti bahawa MDHS mampu menganjurkan dua acara antarabangsa dalam setahun.  Pada bulan April setiap tahun, Kuala Kubu Bharu menjadi hos peminat, pencinta, dan pemerhati burung dari dalam dan luar negara.  Oleh itu, kedua-dua acara ini bukan sahaja memberikan ruang dan peluang kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menikmati keindahan kehijauan yang mengelilingi pekan itu, malah menjanakan pendapatan tambahan kepada penduduk.

Yang menarik perhatian juga ialah bahawa MDHS mempunyai rancangan untuk menganjurkan program Tahun Melawat Hulu Selangor pada tahun ini sebagai ekoran kejayaan penganjuran dua acara antarabangsa pada tahun lepas.  Memang ada banyak tempat menarik di daerah itu, seperti Sungai Chiling, selain Kuala Kubu Bharu, pekan terancang pertama di negara ini. Jika dilaksanakan, MDHS menjadi pihak berkuasa tempatan pertama yang menganjurkan acara seumpama itu.

Sehubungan dengan itu, ada baiknya jika pihak berkuasa tempatan yang lain mengikut langkah MDHS, dengan menganjurkan pesta sedemikian dan tahun melawat daerah masing-masing.  Di Pulau Pinang, sudah ada Festival Persuratan George Town dengan tumpuan kepada kesusasteraan, sementara Johor mempunyai Festival Penulis dan Pembaca Johor Bahru dengan aktiviti perbukuan sebagai tumpuannya, yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan. Majlis Daerah Jerantut, misalnya, boleh menganjurkan Pesta Gendang Antarabangsa sementara Majlis Perbandaran Kuala Kangsar boleh sahaja mengembalikan Pesta Chandan dengan konsep dan pengisian baharu.

MDHS mendapat dukungan yang kuat daripada beberapa banyak pihak untuk menjayakan perencanaannya.  Semua pihak itu mempunyai iltizam dan tekad yang sama dan kuat untuk menjayakan apa-apa juga perencanaan demi kebaikan bersama. Bersatu teguh bercerai roboh.

Selamat menyambut tahun baharu Masihi 2017.

Armin Azhari Saleh

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda