Angpau dari Perspektif Masyarakat Tionghoa

Home » Masyarakat Dan Seni » Tradisi » Angpau dari Perspektif Masyarakat Tionghoa

OLEH CHAI LOON GUAN

Seperti perayaan utama yang lain, Tahun Baharu Cina tetap disambut pada setiap tahun, yakni antara 21 Januari dengan 20 Februari menurut takwim masyarakat Tionghoa, Nong Li, atau takwim petani.  Pada tahun ini, Tahun Baharu Cina disambut pada 28 dan 29 Januari.

Yang pasti, setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, sampul angpau akan diberikan tanpa gagal. Lazimnya, dalam kalangan masyarakat Tionghoa dan barangkali sesetengah masyarakat Asia Timur, angpau, laisee, ya sui qian, atau hongbao merupakan cenderamata berbentuk wang yang diberikan atau dihulurkan pada musim percutian dan meraikan sambutan atau perayaan khas, seperti hari perkahwinan, hari pengijazahan dan hari kelahiran, selain Tahun Baharu Cina.

Angpau bermula pada zaman dinasti Sung di China. Kononnya, sebuah perkampungan yang bernama Chang-Chieu telah diancam oleh raksasa, Nian. Tiada orang yang mampu menewaskan raksasa tersebut biarpun dalam kalangan wirawan atau negarawan. Walau bagaimanapun, hadirnya seorang anak yatim, yang bersenjatakan pedang sakti warisan leluhurnya, telah berjaya menewaskan dan membunuh raksasa tersebut. Kejayaan anak muda itu telah membangkitkan kegembiraan dan kebanggaan penduduk setempat. Mereka menghadiahi pemuda itu sampul berwarna merah yang berisikan wang sebagai tanda penghargaan. Sejak peristiwa itu, angpau menjadi sebahagian daripada amalan tradisi masyarakat Cina.

Warna merah pada sampul pula melambangkan nasib baik dan bertindak sebagai pengusir roh jahat. Pada kelazimannya, sampul angpau diberikan oleh pasangan yang sudah berumah tangga kepada yang masih bujang tanpa mengira usia, tua atau muda, pada musim percutian dan perayaan utama masyarakat Cina. Imej yang terpapar pada kulit depan sampul bermaksud ucap selamat atau dirgahayu kehidupan, dikurniai kemakmuran dan kesihatan yang baik dan berpanjangan selagi hayat dikandung badan. Imej, seperti bunga teratai, naga, cenderawasih, zodiak dua belas binatang, nanas keemasan, Buddha dan kanak-kanak, turut menghiasi sampul angpau mutakhir.

Pada kebiasaannya, jumlah wang di dalam sampul angpau berangkakan nombor genap. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, wang yang berjumlahkan angka ganjil dapat diasosiasikan dengan unsur kematian atau perkabungan. Namun begitu, di sesetengah daerah kediaman di China, jumlah wang yang berangkakan nombor ganjil turut diberikan, terutama dalam majlis perkahwinan, agar wang pemberian tersebut tidak mudah dibahagikan. Wang pemberian juga tidak harus diberikan bermula dengan angka empat atau berjumlahkan 40, 400, dan 444 kerana angka empat sering dihubungkaitkan dengan homofon bahasa Cina, iaitu mati, atau berkaitan rapat dengan kematian.

****

Artikel ini dipetik dari majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2017.

Posted in: Tradisi

Hantar Maklum Balas Anda