Inggeris dan Rakyat Negara Ini

Home » Nota Editor » Inggeris dan Rakyat Negara Ini

Menurut catatan sejarah, Inggeris mula bertapak di Tanah Melayu pada tahun 1786. Pada tahun itu, Inggeris mengambil alih pentadbiran Melaka daripada Belanda.  Banyak pihak berpandangan bahawa tahun tersebut dapat dianggap sebagai tempoh bermulanya penjajahan (ada pihak yang menggunakan istilah pentadbiran) Inggeris di negara ini.

Dari tahun tersebut, sedikit demi sedikit Inggeris meluaskan pengaruhnya di Tanah Melayu.  Inggeris meletakkan wakilnya yang disebut sebagai residen di negeri yang ditadbirnya secara langsung atas undangan pemimpin tempatan; sultan hanyalah sebagai boneka.  Di negeri yang tidak ditadbirnya secara langsung, wakil Inggeris dikenali sebagai penasihat.  Namun demikian, pada hakikatnya, baik residen mahupun penasihat, Inggeris tetap menjadi pentadbir dan bukannya raja Melayu.

Dalam tempoh penjajahannya, Inggeris mendirikan sekolah untuk memberikan pendidikan kepada orang tempatan.  Penang Free School ialah sekolah pertama yang didirikannya, pada tahun 1816.  Kemudian muncullah beberapa banyak sekolah Inggeris yang lain, seperti Victoria Institution di Kuala Lumpur pada tahun 1893, Malay College Kuala Kangsar pada tahun 1905, dan Clifford School di Kuala Lipis pada tahun 1913.

Mengapakah Inggeris mendirikan sekolah sebegitu?  Ada pihak yang berpendapat bahawa sekolah sebegitu didirikan untuk menerapkan idealisme Inggeris dalam kalangan masyarakat tempatan.  Dengan hal yang demikian, Inggeris akan terus menjajah negara ini secara implisit, melalui minda masyarakat tempatan dan menjadikan mereka sebagai pemuja Inggeris (sesetengah pihak lebih suka menggunakan istilah pencinta Inggeris) walaupun negara ini telah mencapai kemerdekaan.

Menurut seorang rakan penulis ini, dia mendapat pendidikan menengah di sekolah beraliran Inggeris pada tahun 1960-an.  Oleh sebab itu, dia mampu untuk berbahasa Inggeris dengan baiknya.  Namun demikian, apabila dia berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penggunaan bahasa Melayu yang baik menjadi keutamaannya.  Hal ini dikatakan demikian kerana itulah perjuangan DBP.  Jika dia tidak bertugas di tempatnya sekarang, tidak mustahil jika dia sentiasa menggunakan bahasa Inggeris dan menjadi pemuja Inggeris.

Penulis ini juga mendapat pendidikan menengah di sekolah yang diasaskan oleh penjajah. Sekolah itu didirikan oleh Inggeris pada awal abad ke-20 untuk melatih dan menyediakan golongan elit Melayu sebagai pentadbir apabila negara ini mencapai kemerdekaan.  Pendidikan yang diberikan memanglah sama seperti yang berlaku di Britain, dengan sedikit pengubahsuaian dengan pemasukan pendidikan Islam.

Tidak seperti rakan sepejabat penulis ini, sewaktu penulis ini belajar di sekolah tersebut, aliran Inggeris telah ditukarkan kepada aliran kebangsaan.  Semua mata pelajaran, kecuali bahasa Inggeris, diajarkan dengan menggunakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.  Rata-ratanya pelajar sekolah itu mampu menggunakan kedua-dua bahasa tersebut dengan baiknya.

Penulis ini menganggotai kumpulan Whatsapp dan Telegram bersama-sama rakan sekolah yang lain.  Ada antara rakan penulis ini dalam kumpulan Whatsapp dan Telegram tersebut yang berbicara dengan menggunakan bahasa Inggeris yang amat baik – mungkin lebih baik daripada pengguna asli bahasa itu.  Hal ini tidak menghairankan, malah memang dijangkakan, oleh sebab mereka yang menggunakan bahasa penjajah itu melanjutkan pengajian di luar negara, terutama di Britain, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.

Pada hakikatnya, setelah 50 tahun menikmati kemerdekaan, Inggeris masih menjajah negara ini.  Inggeris berjaya menanam idealismenya dengan amat kuat sewaktu menjajah negara ini.  Tidak cukup dengan hal itu, kini wujud gerakan yang memperjuangkan penggunaan bahasa Inggeris dengan lebih meluas.  Kata gerakan ini, penguasaan bahasa Inggeris rakyat negara ini sekarang tidak sebaik penguasaan bahasa Inggeris mereka yang terdahulu. Kata gerakan ini juga, penguasaan bahasa Inggeris rakyat negara ini mesti baik untuk menghadapi cabaran global.

Memang kita tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris.  Seluruh dunia tahu akan hal itu dan rakyat seluruh dunia mengambil langkah tertentu untuk meningkatkan penggunaan bahasa tersebut.  Yang kita tidak mahu ialah minda rakyat negara ini terus dipenjarakan oleh Inggeris walaupun mereka telah setengah abad meninggalkan negara ini.  Namun demikian, apabila melihat suasana sekeliling sekarang, yang diyakini ialah bahawa minda rakyat negara ini akan terus-menerus dipenjarakan oleh Inggeris.

Armin Azhari Saleh

Posted in: Nota Editor

Hantar Maklum Balas Anda